Tiga pegawai kanan polis ditahan, terbabit kes pemerasan RM1.25 juta

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan tiga pegawai kanannya bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan bernilai RM1.25 juta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kesemua mereka ditahan di sekitar Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

“Tangkapan dilakukan terhadap pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner Polis (ACP), Deputi Superintendan (DSP) dan Inspektor yang berusia 38 hingga 51 tahun.

“Siasatan awal mendapati kesemua suspek menafikan penglibatan dalam kes yang disiasat,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Justeru itu, Razarudin memaklumkan kesemua suspek akan direman esok di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Menurutnya, siasatan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian Undang-Undang/Pendakwaan (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” ujar beliau.

Tegas beliau, PDRM memberi jaminan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan sedang giat mengumpulkan maklumat risikan serta bukti secukupnya bagi memastikan kesemua terlibat dibawah ke muka pengadilan.

Baca juga: