Permohonan maaf Sanusi bukti pengiktirafan hala tuju Anwar – AMANAH

Tindakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memohon maaf secara terbuka kepada Perdana Menteri dan beberapa menteri kabinet lain disambut positif pemimpin dalam parti kerajaan.

Setiausaha Agung AMANAH, Muhammad Faiz Fadzil dipetik laporan sebuah portal berkata, tindakan itu telah menunjukkan pemimpin utama Perikatan Nasional (PN) itu mengiktiraf kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Dia juga sudah memahami konsep federalisme yang memerlukan kerjasama kerajaan pusat dan negeri yang diterapkan dalam pentadbiran Anwar.

“Sama ada permohonan maaf itu kekal atau tidak, ia menunjukkan agenda dan hala tuju kerajaan pimpinan Anwar atas landasan yang betul,” katanya dipetik.

Terdahulu, Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya PAS memohon maaf kepada Anwar dan menteri kabinet semasa berucap pada majlis sambutan Aidilfitri Madani peringkat Kedah pada Sabtu lalu.

Sementara itu Pengerusi AMANAH Kedah, Asmirul Anuar Aris menyifatkan permohonan maaf Sanusi beberapa hari lalu membuktikan kepimpinan PAS Kedah sudah menerima hakikat bahawa mereka tidak akan mampu mentadbir negeri dengan baik tanpa bantuan dari Putrajaya.

“Selepas tiga tahun (jadi Menteri Besar) mungkin dia dah sedar sebagai kerajaan negeri mereka tetap perlu bergantung harap pelbagai peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan.

“Pelbagai projek pelaburan apa yang diumum Sanusi dari semasa ke semasa hanyalah ‘khalayan’ yang dihidang kepada orang ramai,” katanya.

Anda Mungkin Berminat