Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pahang telah menahan sebuah bot nelayan tempatan kerana menggajikan kru warga asing yang tidak memiliki permit sah pada jarak lebih kurang lima batu nautika dari timur Pulau Berhala, Pahang pada Rabu.
Pengarah APMM Pahang, Laksamana Pertama Maritim Mazlan Mat Rejab berkata, kapal ronda maritim itu ditahan ketika sedang menjalankan rondaan melalui OP MAKMUR dan OP TIRIS.
Menurutnya, pasukan APMM berjaya mengesan bot nelayan kelas C dalam keadaan mencurigakan dan ditahan pada pukul 9.00 pagi.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, bot itu dikendalikan seorang tekong dan tiga kru bot merupakan warga Myanmar berumur dalam lingkungan 22 hingga 42 tahun.
“Selain itu, terdapat 630 kilogram ikan campur turut ditemukan semasa pemeriksaan dilakukan.
“Kesemua kru bot bersama hasil tangkapan dan peralatan menangkap ikan dibawa ke Jeti Pos Maritim Teluk Gading sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan.
Dalam pada itu, pemeriksaan lanjut mendapati bot nelayan itu melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.
“Ianya kerana melanggar syarat lesen iaitu gagal mempamerkan sebarang dokumen kebenaran bertulis dari Ketua Pengarah Perikanan untuk kelulusan menggajikan kru asing.
“Sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah atau kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Pahang di talian 09-5717345 atau MERS 999,” katanya.
Baca juga: