Anwar tegaskan pendekatan lama tidak boleh diguna pakai, AI perlu diselaras segera

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa dalam meningkatkan kemajuan dalam pendidikan, ianya tidak boleh menggunakan pendekatan lama menurut ucapan beliau di Perasmian Program Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024.

“Jika sekiranya rasa perlu, tambah jurutera. Harus ada pendekatan segera, kerana kita perlu memaksa kemajuan ini dan membuat keputusan yang pantas untuk menggunakan AI (kecerdasan buatan).

“Betul, kita mempunyai cabaran iaitu keupayaan akses dan sebagainya, tetapi, perlu disegerakan pelaksanaan AI agar boleh membentuk generasi yang lebih maju dalam bidang pendidikan,” katanya dalam Perasmian Program Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024 pada Jumaat.

Walaubagaimanapun, beliau memberikan penghargaan serta menzahirkan rasa kagum kepada kesemua universiti di negara ini kerana mengambil AI sebagai satu inisiatif bagi melahirkan pelajar yang sukses pada masa akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut memberi penekanan terhadap Kementerian Pendidikan agar menyegerakan penggunaan AI kerana peruntukan bagi pendidikan adalah salah satu peruntukan paling besar pada tahun ini.

“Saya meminta kementerian, menekankan penjawat awam dan pihak universiti harus segerakan penggunaan AI kerana saya pernah berkata dalam Belanjawan 2024, peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2024 adalah pendidikan,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri pernah mengumumkan peruntukan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi Belanjawan 2024 meningkat sebanyak 6.8 peratus kepada RM16.3 bilion berbanding tahun lalu.

Secara tidak langsung, ia menggambarkan peranan penting KPT sebagai pemangkin kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat melalui bidang pendidikan tinggi.

Baca juga: