Kerajaan peruntuk RM1.06 bilion laksana projek infrastruktur di Sabah – Zahid

Kerajaan bersetuju memberi peruntukan RM1.06 bilion bagi menyokong usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk pembangunan meliputi pelaksanaan 224 projek infrastruktur di Sabah.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia meliputi pelaksanaan 224 projek infrastruktur seperti Jalan Luar Bandar (JALB), Jambatan Luar Bandar (JMLB), Bekalan Air Luar Bandar (BALB), Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) dan Projek Pemajuan Kawasan (PPK).

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Dengan Exco-Exco Luar Bandar (MEXCLUB) Bilangan 1 Tahun 2024 yang berlangsung di Kota Kinabalu, Sabah.

Pada masa yang sama, beliau turut mengumumkan peruntukan pembangunan kepada Exco Luar Bandar yang turut dinaikkan kepada RM750,000 berbanding RM500,000 sebelum ini.

“Peningkatan peruntukan itu bagi memastikan penduduk luar bandar sentiasa mendapat manfaat daripada program-program yang telah dirancang oleh kerajaan.

“Saya akan memastikan kerjasama dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri sentiasa utuh dalam menjayakan agenda perancangan desa progresif,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Beliau juga berharap MEXCLUB akan sentiasa menjadi platform perbincangan secara membina di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memperkukuh persefahaman dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar.

Ia bertujuan bagi mewujudkan komuniti desa yang mampan dan berdaya saing.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat