Lelaki warga asing maut, MPV terbabas langgar penghadang besi

Seorang lelaki meninggal dunia selepas kenderaan pelbagai guna (MPV) dipandunya terbabas selepas melanggar penghadang besi di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) susur ke Jalan Tebrau, Johor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, ACP Raub Selamat berkata, kemalangan kira-kira pukul 12.15 pagi itu membabitkan lelaki warganegara Indonesia berusia lingkungan 50-an tahun itu dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum MPV berkenaan hilang kawalan.

“Kemalangan tersebut dipercayai berlaku apabila mangsa yang merupakan seorang peniaga dalam perjalanan ke tempat kerja telah hilang kawalan dan terbabas melanggar penghadang besi di kanan jalan.

“Kematian di lokasi kejadian adalah akibat cedera parah di bahagian badan.

“Siasatan dijalankan dibawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan.

Justeru, pihak polis memohon orang ramai yang melihat kejadian tersebut tampil ke balai trafik Johor Bahru Selatan atau hubungi pegawai penyiasat di talian 010-4171762 bagi membantu siasatan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat