Kenyataan yang dikeluarkan oleh Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Muhammad Fahmi Ngah, menyeru semua pengunjung masjid agar mematuhi peraturan untuk tidak memakai pakaian yang mempamerkan nama atau logo parti atau gabungan politik ketika di dalam masjid.
Beliau berkata demikian berikutan insiden yang tular di Masjid Utama Bandar Batang Kali pada 9 Mei 2024.
“Ini adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, agar masjid-masjid di Selangor ini tidak dijadikan pentas politik, sebaliknya, masjid haruslah menjadi pusat perpaduan dan penyatuan ummah.
“Saya berharap agar semua pihak bertenang dan tidak mengeruhkan lagi keadaan ini. Saya juga telah mengarahkan Pegawai Tadbir Agama dan Jabatan Agama Islam Selangor agar terus memantau masjid, menyiasat dan mengambil tindakan yang wajar sekiranya berlaku pelanggaran, berdasarkan peraturan dan garis panduan sedia ada,” katanya menurut kenyataan.
Dalam pada itu, beliau turut menghargai dan berterima kasih kepada pengadu awam yang tentunya akan membantu pihak berkuasa negeri menguatkuasakan lagi peraturan-peraturan yang sedia ada.
Pada 9 Mei 2024, tular satu insiden telah berlaku di Masjid Utama Bandar Batang Kali, Hulu Selangor apabila seorang Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid mengarahkan jemaah yang mengenakan baju Pakatan Harapan (PH) menterbalikkan pakaian masing-masing kerana berlogo politik.
Sekadar info, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) tahun lalu telah membuat ketetapan agar masjid dan surau tidak dijadikan sebagai medan berpolitik dan pusat propaganda politik kepartian.
Baca juga: