KPDN serbu 4 premis jual cermin hadapan kenderaan tiruan

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah melakukan serbuan ke atas empat buah premis yang disyaki menjual cermin hadapan kenderaan tiruan pada 9 Mei 2024.

Dipercayai, empat buah premis yang diserbu tersebut masing-masing tiga buah premis di Petaling Jaya, Selangor, manakala, sebuah lagi di Kepong, Kuala Lumpur.

Menurut Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam, hasil pemeriksaan lanjut ke atas semua premis terbabit, pasukan serbuan telah menemukan 153 keping cermin hadapan kenderaan yang dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815).

“Kesemua cermin hadapan kenderaan tersebut bersama beberapa dokumen perniagaan lain telah disita bagi tujuan siasatan dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM140,200.

“Dalam masa sama, pasukan serbuan juga telah bertindak menahan dua orang individu lelaki, warga tempatan yang mengaku bertanggungjawab ke atas premis terbabit, berumur 20 tahun dan 31 tahun untuk membantu siasatan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh KPDN.

Beliau berkata, syarikat berkenaan juga akan disiasat di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001) (Akta 613).

“Akta berkenaan adalah berdasarkan kesalahan penggubahan wang haram bagi tujuan mengesan, membeku, menyita serta sehingga ke peringkat pelucutan hak ke atas apa-apa hasil pendapatan atau harta yang dijana daripada aktiviti haram penyelewengan berkaitan cap dagangan,” katanya.

Menerusi kenyataan KPDN, jika disabit kesalahan di bawah Akta 613 itu boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 15 tahun dan juga boleh didenda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu.

KPDN menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati terutamanya apabila membeli alat ganti kenderaan selain, tidak menyokong aktiviti penjualan barangan tiruan kerana dikhuatiri boleh mengakibatkan kerugian dan mengancam keselamatan pengguna itu sendiri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat