Nasional

Anwar arah DBKL tanam 100 pokok baharu sebagai ganti satu pokok yang ditebang

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi arahan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menanam 100 pokok baharu untuk menggantikan satu pokok yang ditebang.

Anwar berkata pihaknya telah memberi arahan sedemikan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh untuk tindakan susulan menerima arahan untuk menebang pokok yang mempunya risiko untuk tumbang.

“Saya telah memberi arahan kepada datuk bandar iaitu bagi setiap pohon yang terpaksa dipotong, 100 pokok baharu wajib ditanam semula,” katanya menerusi hantaran di laman X miliknya.

Dalam pada itu, DBKL turut membuat kenyataan bahawa pihak arboris bertauliah akan melakukan pemeriksaan berkala terhadap pokok-pokok yang dijadikan landskap dan membuat keputusan bahawa sejumlah 28 pokok akan ditebang dalam tempoh terdekat.

Pemeriksaan tersebut dilakukan terhadap pokok yang berusia lebih 30 tahun dan mempunyai lilitan melebihi 1.5 meter.

Pihak DBKL turut menyatakan bahawa sebanyak 175 pokok dikategorikan sebagai pokok berisiko tinggi untuk tumbang melalui penilaian visual bagi mengesan kecacatan pada pokok.

“Pemeriksaan tersebut meliputi pemerhatian dari dahan dan akar yang rosak atau reput, struktur pokok condong atau tidak seimbang dan rekahan pada dahan dan pangkal pokok,” kata kenyataan yang dikeluarkan DBKL.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa telah mengarahkan DBKL untuk mengambil tindakan segera untuk menebang pokok berisiko tinggi susulan kejadian pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur yang meragut nyawa seorang lelaki dan seorang lagi cedera di samping mengakibatkan kerosakan fasiliti awam dan kenderaan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close