Maritim tahan bot nelayan warga Laos langgar syarat lesen

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Mersing menahan sebuah bot nelayan tempatan bersama tekong warga Laos setelah disyaki melanggar syarat lesen.

Pengarah Zon Maritim Mersing, Komander Maritim Suhaizan Saadin berkata, bot nelayan tempatan itu ditahan oleh bot ronda Maritim Malaysia ketika melaksanakan Op Jaksa dan Op Tiris.

Bot itu ditahan pada kedudukan 0.7 batu nautika timur Pulau Mertang pada sekitar pukul 2.00 petang pada Rabu.

“Hasil pemeriksaan mendapati, bot nelayan tempatan itu disyaki melakukan kesalahan melanggar syarat lesen iaitu menambah ruangan dan mengubah suai tangki simpanan minyak bot nelayan mereka.

“Hasil pemeriksaan ke atas dokumen pula, tekong bot nelayan itu merupakan warga Laos berumur 46 tahun.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 iaitu melanggar syarat sah lesen seperti yang ditetapkan dalam buku lesen dan Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas beliau, bot serta kru ditahan sebelum dibawa ke jeti awam Mersing sebelum diserahkan kepada kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut.

Justeru, sebarang aduan dan salah laku jenayah maritim atau sebarang kejadian kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Johor di talian 07-219 9404 atau MERS 999 untuk tindakan segera.

Baca juga: