Warga emas maut, tersepit antara kereta dan tembok

Seorang warga emas maut selepas terlibat dalam kemalangan di Jalan Cekor Manis, Taman Sri Amar, Johor pada pukul 10 pagi hari Khamis.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PBK II KUP Hadi Mohamad berkata, mangsa yang berusia 67 tahun itu tersepit di antara kenderaan dan tembok rumah.

“Difahamkan bahawa pemandu kereta jenis Produa Axia tersebut sedang mengundurkan kereta ketika mangsa hendak membuka pintu rumahnya.

“Pemandu Axia tersebut kemudiannya hilang kawalan dan melanggar mangsa dan tembok rumah tersebut,” katanya menerusi kenyataan.

Pihak bomba yang tiba kemudiannya mengusung mangsa menggunakan stretcher namun dia disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai kesihatan Kementerian Kesiahatan Malaysia (KKM).

Hadi turut menyatakan mayat mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya.

Operasi tersebut melibatkan seramai lima orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau bersama satu unit jentera FRT.

Baca juga: