Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tepati ramalan, tempah tiket ke Suku Akhir Malaysia Masters 2024

Gandingan beregu badminton negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menepati ramalan apabila berjaya menundukkan pasangan dari India, Reddy B Sumeth-Reddy Sikki bagi melayakkan diri ke Suku akhir Kejohanan Badminton Malaysia Master 2024 pada Khamis.

Perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu menyaksikan pemain pilihan utama kejohanan tersebut tidak berdepan sebarang masalah apabila berjaya memenangi set pertama 9-21.

Set kedua, pasangan negara sedikit goyah apabila kerap melakukan kesilapan mudah namun ia tidak cukup untuk menghalang pemain negara dari mengekalkan permainan agresif bagi meloloskan diri ke suku akhir dengan keputusan 15-21 selepas berjuang selama 35 minit.

Pasangan utama negara itu dijadualkan bertemu rakan senegara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing setelah mereka berjaya menundukkan pasangan dari Korea Selatan, Wang Chan-Shin Seung Chan dalam aksi rubber set yang penuh debaran, 21-15, 19-21, 19-21.

Kemaraan itu diteruskan beregu wanita negara Pearly Than-M. Thinaah yang turut berjaya menempah tiket ke suku akhir setelah menewaskan pasangan dari India, Simran Singhi-Ritika Thaker dengan 21-17, 21-11.

Manakala, nasib yang berbeza dialami pemain perseorangan profesional badminton negara, Goh Jin Wei yang terpaksa akur setelah tewas kepada pemain yang berada di tangga ke-20 dunia dari Thailand, Busanan Ongbamrungphan dalam aksi straight set 21-10, 21-14 yang berlangsung selama 37 minit.

Dalam masa sama, nasib yang sama dialami pemain perseorangan badminton negara, Leong Jun Hao yang tewas kepada pemain pilihan ketiga kejohanan dari China , Lee Shi Feng dalam aksi straight set 15-21, 16-21.

Turut tewas, beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin ditunjukkan jalan keluar oleh pasangan pilihan kedua kejohanan dari Denmark Mathias Christiansen-Alexandra Bøje 21-10, 21-15 selepas berjuang selama 35 minit.

Baca juga :

https://malaysiabangkit.com/2024/05/23/dapur-kantin-sekolah-musnah-dijilat-api-di-simpang-pulai