Lagi 86 warga asing ditahan, dua lelaki tempatan ‘sorok’ PATI tumpas – JIM

86 warga asing dan dua orang lelaki tempatan ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam operasi serentak yang dilakukan di beberapa daerah di Johor pada 20 hingga 22 Mei 2024.

Menurut Pemangku Pengarah JIM Negeri Johor, Mohd Faizal Shamsudin, warga asing yang ditahan didapati bekerja tanpa pas atau permit serta tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua yang ditahan adalah 19 lelaki 11 perempuan dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia, 19 lelaki dan tiga perempuan warga Myanmar, sembilan lelaki warga Bangladesh, empat lelaki warga Pakistan serta seorang lelaki warga India.

“Dipercayai masing-masing berumur dalam lingkungan 6 bulan hingga 51 tahun turut ditahan seorang lelaki warga tempatan berusia 49 tahun yang merupakan pemilik dan majikan premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Manakala, operasi yang dilakukan di daerah Batu Pahat, mereka yang ditahan adalah 14 lelaki warga Bangladesh masing-masing berumur antara 20 hingga 45 tahun selain, seorang lagi lelaki warga tempatan ditahan merupakan pemilik premis kilang.

“Di daerah Segamat pula, terdapat tiga perempuan warga Indonesia dan dua lelaki Pakistan masing-masing berumur antara 22 tahun hingga 43 tahun serta seorang sabjek berumur 40 tahun dipercayai pembantu rumah yang melarikan diri dari majikan asal,” katanya.

Susulan itu, kesemua warga asing yang ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia, Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa.

“Manakala, kedua-dua warga tempatan yang ditahan telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d) akta sama kerana melindungi warga asing.

“Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan dan tindakan lanjut,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat