Malaysia perkukuh kerangka sedia ada, cadang pinda IHR 2005

Cadangan pindaan Peraturan-peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) 2005 yang sedang dirunding bertujuan untuk memperkukuhkan kerangka sedia ada, mempermudah proses, dan mempercepat pembikinan keputusan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata, Perjanjian Pandemik pula merupakan sebuah rangka kerja baharu untuk mencegah, membuat persediaan, dan memberi respon kepada sebarang pandemik (wabak rentas sempadan) seperti Covid-19 atau penyakit yang lebih serius.

Menurutnya, keterlibatan Malaysia salah sebuah negara anggota Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam kedua-dua proses berkenaan adalah perlu.

“IHR bertujuan untuk mengawalselia dan melakukan koordinasi respon antarabangsa sekiranya berlaku kejadian yang mengancam kesihatan awam pada skala global (PHEIC).

“Kita telah menyaksikan keberkesanannya untuk mencegah merebaknya wabak seperti ZIKA, Ebola, selsema babi dan selsema burung.

“IHR sekali lagi terbukti berkesan apabila kerjasama antarabangsa terbesar dalam sejarah berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 dalam masa yang amat singkat,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, vaksin ini telah berjaya mencegah jutaan kematian dan sakit teruk akibat jangkitan Covid-19.

Selain itu, katanya, IHR 2005 dan Perjanjian Pandemik yang dirunding di bawah Perkara 19 dibina di bawah Perkara 21 Perlembagaan WHO hanyalah sejenis peraturan kawalselia.

“Sebarang perjanjian di bawah Perkara 19 seperti WHO FCTC (Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau) dan Perjanjian Pandemik tidak pernah dan tidak akan menghakis kedaulatan negara.

“Malah kuasa mutlak Negara Anggota untuk menjaga kedaulatan sendiri dijamin bukan sahaja oleh Piagam PBB dan Perlembagaan WHO, malah dalam IHR 2005 juga,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai sebuah negara yang berdaulat Malaysia harus bersedia untuk menghadapi sebarang pandemik yang mungkin melanda di masa hadapan.

“Kejayaan hanya akan terjamin jika seluruh warga dunia bersatu, dengan mengambil pedoman daripada semboyan di Jata Negara iaitu “Bersekutu Bertambah Mutu”, ” ujarnya lagi.

Justeru, beliau turut menyeru rakyat agar memahami hakikat perkara ini berlandaskan fakta yang betul dan terus cakna, meneliti hal ini secara ilmiah, membincangkan dan membahaskan isu ini secara berhemah, serta membuat kesimpulan dengan penuh bijaksana.

Baca juga: