JIM gempur penempatan haram, tahan 123 warga asing

Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan 123 warga asing dalam operasi di sebuah penempatan haram di kawasan sekitar Sentul, Kuala Lumpur pada awal pagi Selasa.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, operasi yang bermula pada pukul 1 pagi itu membabitkan 95 warganegara Myanmar, 21 warganegara India dan tujuh warganegara Indonesia.

Beliau berkata, hasil risikan dan aduan yang diterima mendapati penempatan haram berkenaan wujud sejak empat tahun lepas dengan dilengkapi bekalan elektrik.

“Warga asing ini dipercayai menyewa rumah daripada warga tempatan yang turut membekalkan bekalan elektrik kepada mereka.

“Mereka membayar kira-kira RM400 sebulan untuk sewaan rumah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, kawasan penempatan haram itu turut menempatkan kedai runcit dan kebanyakan warga asing berniaga dan bekerja di kawasan sekitar.

“Berdasarkan semakan, warga asing terbabit tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan telah tinggal di negara ini melebihi masa.

“Semasa operasi dijalankan, ada dalam kalangan mereka yang memanjat atap, menyorok dan mengunci diri (dalam rumah) supaya tidak ditahan pihak berkuasa,” katanya.

Ruslin berkata, operasi itu melibatkan pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) manakala kesemua warga asing berkenaan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Tuan Jafri bin Embok Taha dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Tuan Wan Mohammed Saupee bin Wan Yusoff.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat