KPDN tumpaskan sindiket seleweng minyak diesel bersubsidi

Satu serbuan telah dilakukan ke atas sebuah lori di sebuah stesen minyak kerana disyaki terlibat dalam sindiket penyelewengan minyak diesel bersubsidi di Jalan Jelapang, Ipoh, Perak pada 24 Mei lalu.

Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), serbuan tersebut dilakukan berdasarkan hasil risikan yang telah dilakukan oleh pihak KPDN sebelum operasi dilaksanakan.

Ketua Pengarah Penguatkuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, modus operandi sindiket tersebut adalah menggunakan lori yang diubahsuai dengan tangki tambahan dan mengisi minyak diesel di beberapa buah stesen minyak sebelum dikumpulkan dan diedarkan ke pasaran gelap.

“Pasukan serbuan telah menemukan minyak diesel dengan kuantiti keseluruhan berjumlah 1,700 liter di dalam sebuah tangki tambahan di dalam ruangan muatan lori tersebut.

“Difahamkan, tangki tersebut bersambung dengan tangki asal kenderaan itu selain beberapa peralatan lain yang digunakan untuk kegiatan penyelewengan minyak diesel,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kesemua peralatan yang ditemui dalam lori berkenaan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut.

“Selain itu, seorang lelaki warga tempatan berumur 41 tahun yang merupakan pemandu lori berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan.

“Susulan itu, kertas siasatan telah dibuka dan siasatan lanjut ke atas kes ini sedang dilakukan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) bagi mengenalpasti individu atau syarikat lain yang terlibat dalam aktiviti ini serta rantaian pengedaran minyak diesel tersebut,” katanya.

Justeru itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan yang lengkap dan tepat kepada pihak Kementerian menerusi aplikasi WhatsApp di talian 019-2794317 atau 019-8488000 atau boleh ke laman rasmi KPDN iaitu http://eaduan.kpdn.gov.my.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat