Remaja lelaki yang dikhuatiri sesat setelah beriadah di Bukit Broga, Semenyih, Selangor pada Isnin telah ditemui maut pada Selasa oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR).
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), PgKB I Shahrin Yusmar Mat Yusof melaporkan mangsa dikenali sebagai Muhammad Ady Putra Effendi, 16.
“Mangsa ditemui oleh pasukan SAR dalam jarak 500 meter dari Pusat Kawalan Bomba (PKB) Bukit Broga di kawasan curam dan bersemak.
“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan.
Terdahulu, bomba menerima laporan menyatakan seorang remaja lelaki hilang dan dikhuatiri sesat ketika sedang beriadah di Bukit Broga pada pukul 4.08 petang hari Isnin.
Remaja tersebut melakukan aktiviti pendakian bersama penjaganya serta dua orang remaja lain.
Dua orang remaja tersebut bersama mangsa disuruh untuk turun terlebih dahulu manakala penjaga mereka akan menyusul kemudian.
Namun, mangsa berpatah balik untuk mencari semula penjaganya namun gagal untuk berjumpa selepas penjaga dan kedua-dua remaja tersebut sudah tiba di kaki bukit.
Selain pihak bomba, operasi SAR tersebut dibantu oleh PDRM, Renjer Jabatan Perhutanan (JPSM), ngkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Malim Gunung Perhutanan (MGP) dan Akademi Latihan Ketenteraan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.
Selain itu, Majlis Pentauliahan Pasukan Khas Multiskill (MUST Team) serta Unit Pengesan (K9) turut digerakkan ke lokasi kejadian.
Baca juga: