Wanita terkena renjatan elektrik dalam kebakaran

Seorang wanita terkena renjatan elektrik dalam kejadian kebakaran membabitkan lima buah rumah di Jalan Sultan Yahya Petra-Kampung Lundang, awal pagi Jumaat.

Mangsa berusia 36 tahun itu dikejarkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) menggunakan jentera EMRS untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Pegawai Bomba Kanan II, Ramli Abdullah berkata, bomba menerima panggilan kira-kira pukul 3.15 pagi berhubung kejadian dan jentera tiba di lokasi lima minit kemudian.

“Setibanya di lokasi kejadian, didapati kebakaran melibatkan tiga buah rumah jenis separuh kekal yang musnah 100 peratus, manakala dua rumah jenis kekal musnah 70 peratus.

“Dalam kejadian itu, turut menyebabkan dua kereta iaitu Proton Preve dan Proton Persona serta sebuah motosikal Yamaha Y15 musnah 100 peratus,

“Pada masa sama, anggota bomba menghantar seorang wanita yang terkena renjatan di lokasi ke HRPZ II pada pukul 5.30 pagi,” katanya.

Dalam pada itu, Ramli memaklumkan, seramai 31 anggota termasuk dua pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Darulnaim, BBP Kota Bharu, BBP Tunjung dan BBP Pengkalan Chepa berjaya memadamkan kebakaran dalam tempoh kurang dua jam.

Tambahnya lagi, api dapat dikawal dan operasi tamat sepenuhnya jam kira-kira pukul 6.02 pagi, namun anggota bomba masih meneruskan pemantauan di lokasi kejadian.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat