Negeri

JIM berkas 99 warga asing di Iskandar Puteri dan Tangkak

Seramai 99 warga asing termasuk seorang penjaga premis diberkas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor dalam operasi berasingan di Iskandar Puteri dan Tangkak, Johor, pada 29 dan 30 Mei lalu.

Pemangku Pengarah JIM Johor, Mohd Faizal Shamsudin berkata, 20 warga asing dan seorang penjaga premis, lelaki tempatan ditahan di Iskandar Puteri, Johor Bahru, hasil pemeriksaan ke atas 36 individu serta empat premis.

Manakala, di Tangkak seramai 295 orang warga asing dan tempatan serta 4 buah premis telah diperiksa.

“Kesemua mereka yang ditahan di Iskandar Puteri adalah seorang lelaki warga tempatan berusia 21 tahun yang merupakan penjaga premis, 10 lelaki dan enam perempuan warga Myanmar, tiga lelaki warga Thailand dan seorang perempuan warga Laos masing-masing bermur antara 25 tahun hingga 53 tahun.

“Manakala mereka yang di tahan di Tangkak adalah 36 lelaki warga Bangladesh, lima lelaki dan tiga perempuan warga Nepal, 13 lelaki warga Pakistan, 12 lelaki warga Myanmar, lapan lelaki warga India dan seorang perempuan warga Kemboja masing-masing berumur antara 19 tahun hingga 51 tahun,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan sebanyak lapan notis hadir ke pejabat juga dikeluarkan kepada individu terlibat bagi membantu siasatan.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 15(1)(c), Seksyen 6(1)(c), dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155).

Difahamkan, JIM Negeri Johor akan terus menggembleng usaha penguatkuasaan secara berkala bagi memastikan isu kebanjiran Pendatang Asing Tapa Izin di negeri Johor dapat ditangani.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close