Kisah benar wirawati bola keranjang negara mula ditayangkan 6 Jun ini

Sebuah naskhah yang diadaptasikan daripada peristiwa sebenar perjuangan wirawati pasukan bola keranjang kebangsaan bakal ditayangkan di pawagam bermula 6 Jun ini.

Filem PADU karya sutradara Faisal Ishak memberi suntikan semangat buat penggemar dan penyokong atlet kebangsaan bola keranjang melalui paparan peristiwa ketika perjalanan pasukan Harimau Malaysia dalam Sukan Sea 2013 di Myanmar, Sukan SEABA 2014 di Semarang, Indonesia, dan Sukan SEA 2015 di Singapura.

Jika sebelum ini kita menyaksikan filem-filem kejayaan atlet kebangsaan seperti Ola Bola, Lee Chong Wei, kali ini filem PADU bakal ditayangkan di layar perak demi mengangkat ceritera skuad Harimau Malaysia pasukan bola keranjang wanita.

Filem yang menelan kos pembikinan mencecah RM4.5 juta ini merupakan satu tanggungjawab yang digalas oleh penerbit, Global Station Sdn. Bhd, dan pengarah Faisal Ishak.

Ketua Pegawai Eksekutif Global Station Sdn. Bhd, Zatty Alia Ramly berkata, masih ramai yang tidak mengetahui perjuangan dan pencapaian pasukan bola keranjang wanita negara.

“Kami terpanggil untuk mendokumentasikan filem kisah wirawati-wirawati bola keranjang supaya masyarakat dan generasi pelapis tahu tentang kejayaan mereka.

“Filem PADU ini membabitkan empat wirawati bola keranjang wanita negara iaitu Izzati, Mulan, Kalai dan jurulatih negara, Yoong,” katanya ketika malam gala filem tersebut Rabu lalu.

Pengarah filem terkenal, Faisal Ishak menyatakan bahawa pencapaian pasukan bola keranjang kebangsaan perlu diketahui umum.

“Sehingga hari ini, skuad Harimau Malaysia telah menghadiahkan 13 pingat emas buat negara kita.

“Saya terkilan sebab masyarakat tak tahu tentang pengorbanan yang dicurahkan pasukan ini demi untuk mengharumkan nama negara.

“Kerana itu saya dan penerbit terpanggil untuk mendokumentasikan cerita mereka dengan harapan ia dapat diarkibkan di peringkat nasional,” jelasnya.

Untuk info, filem PADU dibintangi barisan pelakon berkaliber seperti Fify Azmi, Jojo Goh, Thanuja Ananthan, Lim Mei Fen, Umie Aida, Eizlan Yisof, Sathiya, Mark Adam, Steve Yap dan ramai lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat