Ini hanya catatan pendek tentang seniman Pyanhabib. Beliau juga dikenali dengan Osman Tikus, wataknya menerusi filem ikonik Kembara Seniman Jalanan.
Selasa malam, Pyanhabib atau Mohd Supyan Abdul Rahman sudah tiada. Kembali kepada penciptanya. Meninggalkan semua yang beliau kenali.
Mesej terakhir saya terima dari abang Pyan adalah sekeping gambar seorang ahli politik memakai kasut Fung Keong edisi Osman Tikus dan seperti selalu beliau akan bergurau dengan menulis “Lu apa tau”. Itu cerita beberapa minggu lepas.
Begitulah selalunya, beliau akan menghantar mesej menerusi aplikasi WhatsApp bertanya khabar, bergurau dan memberi kata-kata semangat terutama bila mengetahui saya akan memberi sepenuh perhatian kepada portal Senimalaya ini dan meninggalkan kerja di Astro AWANI.
Ketika menerima panggilan dari Timbalan Presiden PENA, Mohd Khair Ngadiron bahawa abang Pyan sudah tiada, saya buntu dan tidak percaya. Saya tahu abg Pyan kurang sihat sudah lama tetapi berita itu amat mengejutkan.
Kini semuanya hanya tinggal kenangan.
Pyanhabib terkenal kerana imejnya yang “rugged” serta cara deklamasi puisinya yang unik. Biarpun wajahnya serius, beliau sangat disenangi semua orang.
Beliau dilahirkan pada 27 Mei 1958 di Taiping, Perak.
Brader, lu sudah tiada. Al-Fatihah. – Senimalaya