Wanita warga emas rugi lebih RM310,000 selepas jadi mangsa ‘phone scam’

Seorang wanita warga emas mengalami kerugian lebih RM310,995.78 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam‘ yang menyamar sebagai anggota polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintenden Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani memaklumkan mangsa merupakan seorang wanita yang berusia 60 tahun.

“Mangsa melaporkan telah menerima panggilan telefom dari suspek lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak.

“Suspek memberitahu bahawa nama mangsa telah tersenarai antara suspek yang akan ditangkap bagi kes penggubahan wang haram dan segala aset mangsa akan dibekukan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Shahrulanuar menyatakan suspek meminta mangsa menyerahkan maklumat perbankan akaun bank milik mangsa bagi tujuan siasatan kepada pihak Jabatan Audit Negara.

Disebabkan pemberian maklumat perbankan tersebut, suspek telah membuat pindahan wang ke dua akaun bank yang berbeza secara berperingkat sebanyak RM66,050.

Mangsa kemudiannya membuat semakan melalui sistem perbankan atas talian dan mendapati terdapat pengurangan wang sebanyak RM244,945.78 dalam akaun bank miliknya.

Shahrulanuar turut berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai untuk lebih berhati-hati apabila menerima panggilan telefon dari nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa transaksi yang meragukan.

Baca juga: