Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 800 liter petrol

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menggagalkan cubaan menyeludup keluar 800 liter minyak petrol di perairan Tanjung Batu, Sandakan, Sabah pada Rabu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, bot peronda Maritim Malaysia yang sedang dalam operasi mengesan pergerakan sebuah bot pancung dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan. 

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kapten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pihaknya terus bertindak mengejar dan mengarahkan bot pancung berkenaan berhenti.

Menurut beliau, sebaik suspek menyedari kehadiran anggota penguatkuasa, bot terbabit berpatah balik dan memecut laju menuju ke pantai berhampiran Tanah Merah Sandakan.

“Dua suspek yang berada di dalam bot berkenaan berjaya meloloskan diri dan meninggalkan bot pancung beserta muatannya.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot berkenaan menemukan sejumlah 800 liter disyaki minyak petrol yang diisi di dalam 32 tong,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, semua rampasan dibawa masuk ke Jeti Zon Maritim Sandakan dan diserahkan kepada pegawai penyiasat.

Difahamkan, siasatan lanjut akan dilaksanakan bagi mengesan pemilik bot, dalang serta pelaku di sebalik kegiatan penyeludupan ini dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat