Nasional

Motac gantung lesen syarikat umrah Pasadana Travel & Tours

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menggantung lesen syarikat pengendali umrah Pasadana Travel & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa 20 April hingga 31 Disember 2024.

Dalam kenyataan pada Selasa, MOTAC memaklumkan penggantungan lesen syarikat itu dibuat di bawah subseksyen 8(1)(b) dan subseksyen 8(1)(d) Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482).

“Dalam tempoh penggantungan lesen ini, syarikat tidak boleh mengurusniagakan apa-apa perniagaan baharu seperti mengiklankan pakej umrah dan mengambil jemaah baharu untuk mengerjakan umrah,” kata MOTAC.

Dalam tempoh penggantungan tersebut, syarikat tersebut dikehendaki memulangkan semula bayaran dan apa-apa dokumen milik jemaah umrah yang memilih untuk membatalkan tempahan syarikat.

MOTAC berkata sekiranya didapati syarikat melanggar syarat tersebut, tindakan pembatalan lesen boleh diambil dan tiada pembaharuan lesen akan dibenarkan setelah habis tempoh lesen.

Subseksyen 8(1)(b) merujuk kepada pengusaha pelancongan berlesen melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di bawah lesen, mana-mana peruntukan akta itu atau mana-mana undang-undang bertulis lain, tidak kira bahawa tiada pendakwaan telah dibawa bagi sesuatu kesalahan berkenaan dengan pelanggaran sedemikian.

Subseksyen 8(1)(d) pula berkaitan dengan menjalankan perniagaan mengikut cara memudaratkan kepentingan orang awam, industri pelancongan atau ekonomi negara.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close