Negeri

HASiL lancar operasi lawatan bersepadu Ops Borneo 2.0 di Sabah

Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) telah melaksanakan satu operasi lawatan pematuhan bersepadu iaitu Ops Borneo 2.0 Peringkat Negeri Sabah selama lima hari bermula 10 hingga 14 jun 2024.

Ops Borneo 2.0 melibatkan lima lokaliti iaitu Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau, Keningau dan Labuan.

HASiL dalam satu kenyataan memaklumkan, operasi tersebut merupakan kesinambungan daripada Ops Borneo 1.0 peringkat negeri Sarawak yang telah dilaksanakan pada 14 Mei yang lalu.

“Seramai 260 orang pegawai HASiL seluruh Sabah telah terlibat dalam operasi yang melibatkan aktiviti audit percukaian syarikat dan periagaan, serahan notis pemakluman sebelum tindakan saman, audit Potongan Cukai Bulanan (PCB) majikan, serahan saman dan notis tunggakan, serahan notis gagal patuh kes syarikat (CP204) dan kes individu atau perniagaan (CP500) serta lawatan banci bisnes,” katanya.

Sementara itu, Pengarah HASiL Sabah, Azrul Hisham Shamsudin berkata, beliau optimis bahawa operasi lawatan pematuhan ini dapat memberikan kesan positif dari segi kutipan di samping meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan pembayar cukai serta mengurangkan ketirisan hasil cukai yang seterusnya dapat menyumbang kepada kelestarian kutipan hasil negara.

Tambahnya, beliau turut berharap operasi ini dapat mencapai objektifnya dalam menyokong agenda pembesaran asas cukai serta meningkatkan kadar pematuhan dalam kalangan masyarakat demi pembangunan dan kesejahteraan ekosistem percukaian negara.

Untuk sebarang pertanyaan orang ramai boleh menghubungi Hasil Contact Centre (HCC) di talian 03-89111000 / 603-89111000 (luar negara), HASiL Live Chat atau menghantar borang maklum balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas di https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/Public/.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close