Nasional

UTM nafi jalin sebarang kerjasama dengan City Akademik Sabah untuk penawaran atau pembiayaan pengajian

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menafikan sebarang bentuk kerjasama dengan City Akademik, Sabah sama ada dari segi penawaran pengajian mahupun pembiayaan pendidikan.

Ia susulan daripada surat panggilan temu duga Bantuan Dana Sokongan Pendidikan atau Biasiswa Melanjutkan Pengajian ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM).

Surat panggilan temu duga tersebut adalah merupakan sesi pengambilan tahun 2024 yang dibuat oleh City Akademik, Sabah.

Pejabat Strategi dan Hal Ehwal Korporat UTM mengeluarkan kenyataan bahawa lesen francais UTM di bawah kendalian UTMSPACE hanya diberikan kepada City Academy, bukannya kepada City Akademik, Sabah.

“City Akademik, Sabah merupakan kolej cawangan bagi City Academy dimana ibu pejabatnya terletak di Petaling Jaya, Selangor dan tidak memegang lesen francais dibawah kendalian UTM,” kata kenyataan yang dikeluarkan UTM pada Khamis.

Dalam pada itu, pihak UTM turut menyeru orang ramai untuk lebih berwaspada dengan surat tawaran yang dikeluarkan oleh City Academik, Sabah.

“Orang awam perlu membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak Pejabat Pendidikan Daerah yang berdekatan bagi mengelakkan sebarang kerugian akibat penipuan dan pemalsuan maklumat.

“Pihak UTM juga tidak akan bertanggungjawab atas sebarang bentuk kerugian sama ada secara langsung mahupun tidak langsung mengenai perkara ini,” tambah kenyataan tersebut.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close