Jenayah

Lelaki rugi lebih RM461,000 selepas jadi mangsa perjudian atas talian

Seorang lelaki warga tempatan mengalami kerugian kira-kira RM461,773 selepas menjadi mangsa penipuan perjudian atas talian melalui laman web highfirst.ioi.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail memaklumkan mangsa merupakan seorang lelaki berusia 35 tahun yang bekerja sebagai seorang peniaga.

“Mangsa melaporkan bahawa dirinya mendapat tahu mengenai laman web tersebut daripada kenalannya yang merupakan seorang wanita warga Indonesia yang dikenali melalui aplikasi WhatsApp.

“Berminat dengan tawaran di laman web tersebut yang menjanjikan keuntungan sebanyak 18 hingga 25 peratus, mangsa bertindak menukarkan wang miliknya kedalam bentuk coin yang tertera dalam laman web itu,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Nasir menyatakan bahawa mangsa telah melakukan 27 transaksi pemindahan wang ke dalam 10 akaun bank yang berasingan hingga mencecah nilai keseluruhan sebanyak RM461,773.

Namun, mangsa masih gagal menerima pulangan seperti mana yang dijanjikan dan wang yang dimasukkan ke dalam platform tersebut juga tidak boleh dikeluarkan semula.

Menyedari diri telah ditipu, mangsa kemudian bertindak melaporkan kes penipuan tersebut pada pihak polis pada Rabu.

Mohamad Nasir turut menyatakan bahawa kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihak polis menyeru orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan tawaran perjudian atas talian yang menjanjikan penjanaan keuntungan wang yang lumayan untuk mengelakkan diri mereka menjadi mangsa penipuan yang seterusnya.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close