Keputusan Permohonan Kemasukan ke IPTA dan ILKA diumumkan pada 28 Jun ini

Keputusan Permohonan Kemasukan ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bagi Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal diumumkan pada 28 Jun ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan keputusan tersebut boleh disemak bermula 12.00 tengah hari sehingga 5.00 petang pada 7 Julai 2024, menerusi platform atas talian yang sudah disertakan pautan atau melalui Aplikasi Mobile UPUPocket di telefon pintar.

“Dalam pada itu, pengesahan setuju tawaran boleh dibuat di laman web Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) bermula dari 29 Jun sehingga 7 Julai 2024.

“Manakala, surat tawaran rasmi akan dikeluarkan oleh IPTA dan ILKA kepada yang berjaya bermula 29 Jun 2024 selepas calon membuat pengesahan setuju menerima tawaran tersebut.

“Bagi pemohon yang tidak berjaya pula boleh membuat permohonan rayuan melalui UPUOnline bagi kemasukan ke UA dan Politeknik di https://upu.mohe.gov.my, dalam tempoh 10 hari bermula pada pukul 12.00 tengah hari, 28 Jun sehingga pukul 5.00 petang, pada 7 Julai,” katanya dalam satu kenyataan.

Rayuan ke Kolej Komuniti dan ILKA boleh dimajukan terus ke institusi berkenaan tanpa melalui UPUOnline.

Tawaran tempat bagi Sesi Akademik 2024/2025 pula, adalah muktamad dan sebarang permohonan pertukaran program pengajian dan IPTA/ILKA tidak akan dibenarkan.

Selain itu, dasar pemilihan rayuan adalah tertakluk kepada kekosongan tempat yang ditawarkan mengikut program pengajian selepas pendaftaran pelajar baharu selesai.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada pejabat Bahagian Kemasukan Pelajar IPTA menerusi laman media sosial mereka atau e-mel ke upu@mohe.gov.my

Baca juga: