Nasional

BlackRock miliki pegangan saham Bursa Malaysia sekitar RM20.5 bilion – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Blackrock memiliki kepentingan dalam pasaran saham Bursa sebanyak RM20.5 bilion termasuk syarikat-syarikat besar dan RM7 bilion merupakan bon kerajaan serta korporat Malaysia.

Menurut beliau, pelaburan BlackRock di negara ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah syarikat pelaburan antarabangsa itu sudah melabur di negara ini sejak berpuluh-puluh tahun lalu khususnya dalam pasaran ekuiti dan bon syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta syarikat korporat Malaysia.

Anwar turut mempersoalkan mengapa pelaburan BlackRock dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) menjadi isu ketika ini, sedangkan penglibatan syarikat itu sudah berlaku sejak 2021.

“Tapi kita diserang sekarang termasuk oleh rakan-rakan sebelah sana (pembangkang), dia lupa bahawa keputusan penting.

“Keputusan penting mengambil alih memberikan peranan BlackRock pada 26 Februari 2021 tatkala Pagoh (Mahiaddin) menjadi Perdana Menteri dan ramai menteri-menteri ada ketika itu di sebelah sana,” kata Anwar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Sesi soal jawab Perdana Menteri di Dewan Rakyat pada Selasa sekali lagi menyaksikan tiada kelihatan kelibat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN – Pagoh) dan Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN – Marang).

Mengulas mengenai mengapa MAHB tidak memilih rakan yang lain, Anwar berkata, adalah sukar untuk mana-mana syarikat asing mahu bekerjasama jika mereka tidak menguasai majoriti pegangan saham, pengurusan atau menjadi Pengerusi dan CEO.

“Semua itu tidak menerima syarat yang kita kenakan yang agak ketat terutamanya dari segi penguasaan majoriti saham.

“Kita tidak beri kerana kita masih kekalkan 70 peratus syarikat Malaysia, Khazanah dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja,” tambahnya.

Ia termasuk pemilihan BlackRock oleh KWSP sebagai salah satu pengurus dana Akaun Terurus Berasingan (SMA) pelaburan langsung dan pelaburan bersama Ekuiti Persendirian (PE) patuh Syariah yang pertama dan terbesar di dunia dengan peruntukan AS$600 juta (RM2.5 bilion).

“Kalau soal BlackRock dibangkit tadi kerana ambil GIP, soalnya kenapa tak fikir pada 2021? Itu boleh pula tetapi sekarang tak boleh. Pada 2021, BlackRock (mempunyai) agenda yang sama.. ini masalah. Hukum itu berubah mengikut keadaan,” katanya.

Related Articles

Check Also
Close