Nasional

Cadangan benarkan pelarian bekerja akan dinilai – Armizan

Kerajaan sedang dalam proses memperhalusi cadangan untuk membenarkan golongan pelarian dan pemohon suaka yang mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk mendapatkan pekerjaan.

Penelitian terhadap sebelum memberikan kebenaran perlu dijalankan supaya tidak menjadi suatu bentuk persaingan terhadap pekerja tempatan.

Perkara itu disuarakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali, dalam jawapan bertulis sidang Parlimen pada Isnin.

Kerajaan juga berusaha memastikan kebenaran terhadap golongan itu untuk bekerja tidak bertukar menjadi faktor penarik kepada kemasukan lebih ramai warga asing yang berselindung di sebalik status pelarian dan pemohon suaka daripada UNHCR.

“Bagi maksud ini, kerajaan juga sedang mewujudkan sistem pendataan pelarian di peringkat kerajaan iaitu selain berdaftar di bawah UNHCR, golongan ini juga perlu berdaftar dengan kerajaan.

“Mekanisme pendaftaran dengan kerajaan ini akan dimuktamadkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Selain itu, Kementerian Sumber Manusia (KSM) juga sedang meneliti mekanisme yang bersesuaian bagi membenarkan golongan pelarian yang berdaftar dengan UNHCR untuk mendapatkan pekerjaan.

“Bagaimanapun, ia adalah terhad kepada bidang pekerjaan 3D (kotor, bahaya dan sukar),” katanya.

Mengulas lanjut, Armizan memberitau, kerajaan berhasrat untuk memberikan kebenaran bekerja kepada pelarian di bawah kategori pekerja tidak mahir dengan menggunakan kuota majikan sedia ada.

“Kerajaan juga telah mengadakan beberapa siri libat urus bersama UNHCR bagi mendapatkan profil pelarian meliputi tahap pendidikan, kemahiran dan jenis pekerjaan yang diceburi termasuk cadangan untuk mempelajari amalan terbaik dari negeri seperti Filipina dan Turkiye.

“Untuk itu, KSM akan mengetuai Jawatankuasa Kerja Kebenaran Bekerja Untuk Pelarian yang mana fungsi utaman jawatankuasa ini adalah untuk mengendalikan urusan mengenai kebenaran bekerja untuk pelarian dalam pelbagai sektor yang dirasakan sesuai dan mengikut keperluan semasa,” katanya.

Oleh itu, calon majikan diwajibkan mematuhi syarat kelayakan semasa serta Dasar Penggajian Semasa dan Perundangan Perburuhan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.

Related Articles

Leave a Reply

Check Also
Close