KPM terima cadangan orang ramai untuk rangka pelan pendidikan baharu negara

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengalu-alukan orang ramai untuk memberi cadangan pelan pendidikan baharu negara dengan membangunkan Portal Cadangan Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036.

Menterinya, Fadhlina Sidek memaklumkan cadangan tersebut akan digunakan dalam usaha menghasilkan pelan pembangunan pendidikan baharu bagi mengantikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang hampir sampai ke penghujung.

“Portal tersebut adalah wadah untuk memudahkan pengumpulan maklumat, cadangan dan idea daripada seluruh masyarakat berkaitan hala tuju pendidikan negara.

“Ia juga selaras dengan konsep ‘whole of society approach‘ dimana KPM mengalu-alukan cadangan daripada pelbagai pihak dalam bentuk memorandum atau kertas cadangan untuk membantu Kementerian menghasilkan pelan pendidikan masa depan yang komprehensif dan holistik,” katanya dalam kenyataan.

Fadhlina turut menyatakan masyarakat dijemput untuk menyumbang cadangan bermula pada 14 Mei hingga 31 Disember depan.

Portal Cadangan Masa Depan Pendidikan Malaysia 2026-2036 boleh diakses melalui pautan https://www.moe.gov.my/pelanpendidikan2026/public.

Inisiatif tersebut menunjukkan komitmen KPM dalam menjayakan agenda reformasi pendidikan demi manfaat generasi masa depan negara.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat