Negeri

4 kru warga asing kapal tangki tempatan ditahan di perairan Miri

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Miri telah menahan empat orang warga asing yang juga merupakan kru sebuah kapal tangki tempatan sekitar pukul 5.34 petang hari Selasa pada kedudukan 55 batu nautika Barat Laut Kuala Baram, Sarawak.

Pengarahnya, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati kapal tangki berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong dan tiga orang kru yang kesemuanya merupakan warganegara Indonesia.

“Kesemua mereka ditahan menurut Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959 (Akta 298) iaitu bersauh di kawasan larangan.

“Selain itu, kru kapal tersebut disyaki melakukan kesalahan dibawah Ordinan Saudagar (MSO) 1952 kerana tidak memiliki dokumen dan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda secara bertulis,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Khairol turut menyatakan penahanan tersebut dilakukan ketika kapal peronda Maritim menjalankan Operasi Khas Raja Laut 2 1/2024, Operasi Khas Naga Timur dan Operasi Permai 01/2019 di perairan Miri.

Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan berserta kapal tangki yang dikendalikan oleh mereka diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Zon Maritim Miri untuk siasatan lanjut.

Dalam pada itu, pihak Maritim turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai salah laku di perairan ataupun insiden kecemasan di laut untuk melaporkannya menerusi panggilan kecemasan atau Pusat Operasi Zon Maritim Miri.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close