Negeri

Polis Sarawak komited jaga ketenteraman awam sepanjang penganjuran Rainforest Music Festival

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching komited dalam menjaga ketenteraman awam ketika berlangsungnya Rainforest World Music Festival 2024 yang akan diadakan pada Jumaat hingga Ahad di Kampung Budaya Sarawak, Kuching, Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah memaklumkan seramai 32 orang pegawai, 277 orang anggota polis, 20 orang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan beberapa orang penguatkuasa telah ditugaskan untuk menjaga keamanan sepanjang festival tersebut.

Ahsmon turut menyeru orang ramai untuk bekerjasama dengan pihak polis dan mematuhi undang-undang untuk mengelakkan berlakunya perkara yang boleh mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kemudaratan.

“Hal ini kerana pengunjung festival tersebut dijangka akan mencecah sehingga 10,000 orang setiap hari.

“Di samping itu, pihak polis turut menegaskan bahawa penggunaan atau menerbangkan dron di kawasan festival tanpa permit adalah tidak dibenarkan.

“Mana-mana individu yang didapati menerbangkan dron tanpa kelulusan dan kebenaran Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan didakwa dibawah Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu, Ahsmon turut menasihati pengunjung untuk tidak meletakkan kenderaan di bahu jalan dan meletakkannya di tempat yang disediakan untuk menghalang kelancaran lalu lintas di kawasan festival tersebut.

Untuk info, Rainforest World Music Festival 2024 merupakan festival muzik tahunan bertaraf antarabangsa yang meraikan kepelbagaian muzik dunia dan menampilkan penghibur terkenal dari seluruh dunia.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close