Jenayah

Pegawai khidmat masyarakat rugi lebih Rm170,000 selepas jadi mangsa ‘phone scam’

Seorang pegawai khidmat masyarakat mengalami kerugian lebih RM177,700 selepas menjadi mangsa penipuan ‘phone scam‘ yang menyamar sebagai wakil Kementerian Komunikasi Digital (KKD) dan pegawai polis.

Ketua Polis Perak, Komisioner Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri memaklumkan mangsa juga merupakan seorang warga emas berusia 70 tahun.

“Mangsa melaporkan telah menerima panggilan telefon daripada suspek yang memperkenalkan dirinya sebagai wakil KKD.

“Suspek memberitahu bahawa mangsa perlu pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, Perak kerana akaun mangsa didapati terlibat dengan aktiviti yang menyalahi undang-undang seperti penggubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan.

Panggilan antara mangsa dan suspek kemudiannya disambungkan kepada suspek kedua yang menyamar sebagai pihak polis.

Mohd Yusri berkata, suspek meminta mangsa memberikan nombor kad mesin juruwang automatik (ATM) dan nombor pin untuk semakan dan sebagai memenuhi syarat untuk suspek membantu kes tersebut.

“Mangsa turut disuruh untuk memberi nombor kata laluan satu kali (OTP) kepada suspek untuk urusan pemindahan wang dan memberi jaminan bahawa wang tersebut akan dipulangkan setelah siasatan selesai.

“Namun, mangsa yang panik terus menuruti arahan polis tersebut dan hasil semakan bersama pihak bank mendapati sebanyak lima transaksi kepada lima akaun berbeza hingga melibatkan wang sebanyak RM177,700,” tambahnya.

Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis dan kes sedang disiasat dibawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, pihak polis turut menyeru orang ramai untuk tidak mudah terpedaya dengan panggilan dari nombor yang tidak dikenali dan membuat semakan terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa transaksi yang meragukan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close