Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick menyampaikan sumbangan segera sebanyak RM20,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) susulan banjir yang melanda daerah Penampang, Sabah.
Ewon menerusi satu kenyataan berkata, sumbangan itu bertujuan membiayai operasi menyelamat mangsa banjir dan keperluan lain di pusat pemindahan sementara (PPS).
Menurutnya, beliau telah memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai situasi banjir di Penampang ketika ini dan memaklumkan ketidakhadirannya ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pagi Isnin akibat bencana berkenaan.
“Sepatutnya, saya mengambil penerbangan pada jam 5.20 pagi esok (pagi Isnin) ke Kuala Lumpur. Saya juga memaklumkan penangguhan taklimat agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan penggantian saya untuk temu bual dengan BERNAMA, malam esok (malam Isnin).
“Mari doakan operasi menyelamat dan memindah mangsa bencana ini dipermudahkan, juga untuk semua mengambil langkah berhati-hati,” katanya.
Ujarnya, Pegawai Daerah Penampang telah mengisytiharkan pembukaan pusat bencana berkenaan pada pukul 5.25 petang Ahad susulan hujan lebat di Penampang sejak pukul 1.30 tengah hari yang menyebabkan banjir besar.
“Pasukan keselamatan terdiri daripada polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan dibantu Kelab Pacuan Empat Roda menjalankan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa banjir.
“Bagaimanapun, operasi itu juga terkesan akibat arus kuat. Beberapa jalan utama Penampang tidak dapat dilalui dan bekalan elektrik juga terputus di beberapa kampung serta kawasan perumahan.
“Tanah runtuh di tiga kawasan juga menyebabkan laluan utama tidak dapat dilalui, termasuk Jalan Penampang-Tambunan,” katanya lagi.
Katanya, beliau membuat tinjauan banjir menggunakan kenderaan ahli Kelab 4×4 WRS dan melihat banyak kenderaan yang tersangkut.
Difahamkan, pertembungan air laut pasang dengan air sungai menyebabkan limpahan besar banjir berkenaan.
Baca juga: