Sukan

Pasukan Akmal tewaskan Sanusi dalam perlawanan persahabatan sempena PRK Sungai Bakap

Aksi persahabatan bola sepak antara pasukan pilihan Pengarah Strategi KEADILAN, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berjaya menewaskan pasukan pilihan Ketua Pengarah Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Perlawanan persahabatan yang diadakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berlangsung di Padang Bola Sepak Taman Pekatra, Simpang Empat di Pulau Pinang pada petang Ahad itu menyaksikan pasukan mewakili Kerajaan Perpaduan mengalahkan Perikatan Nasional (PN) dengan jaringan 3-2.

Akmal Nasir yang juga Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pada awal perlawanan berjaya meletak pasukannya di hadapan apabila menjaringkan satu gol.

Pasukan pilihan Sanusi yang dibarisi pemain seperti wakil rakyat, Exco Kedah dan bekas pemain seperti Baddrol Bakhtiar, Muhammad Radhi Mat Din, Datuk Salleh Saidin, Helmi Heliza Alias dan Nelson Sam Martin kemudian berusaha untuk menyamakan kedudukan.

Baddrol yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Gurun kemudian berjaya menyamakan kedudukan 1-1 melalui gol yang dijaringnya.

Tersentak dengan jaringan tersebut, pasukan pilihan Akmal Nasrullah yang juga dibarisi pemain campuran seperti Exco Pulau Pinang, Fahmi Zainol dan bekas pemain seperti Faiz Subri, Merzagua Abderazak dan Norshahrul Idlan Talaha pula kembali menyusun permainan memburu jaringan.

Faiz yang merupakan penerima anugerah Puskas FIFA 2016 itu kembali meletakkan pasukan pilihan Akmal Nasrullah di hadapan 2-1 sebelum Nor Shahrul terus selesa meletakkan pasukan pilihan Akmal Nasrullah di hadapan 3-1 pada babak kedua.

Pasukan pilihan Sanusi kemudiannya melakukan pertukaran pemain untuk meningkatkan tempo serangan sebelum Baddrol sekali lagi menyumbangkan jaringan untuk pasukan Sanusi.

Perlawanan itu berjaya menarik perhatian lebih 500 penyokong daripada PH dan PN.

Related Articles

Check Also
Close