Pakaian baharu kontinjen negara ke Olimpik Paris 2024 bersifat ‘lebih garang’

Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengumumkan pakaian rasmi baharu yang akan dipakai kotinjen Malaysia ke Olimpik Paris 2024 bertemakan corak belang harimau yang lebih garang menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pada Selasa.

Pakaian baharu tersebut yang direka cipta khas oleh Yonex merupakan maklum balas pihak MOM terhadap reka bentuk yang sebelum ini menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia.

Menurut Presiden MOM, Tan Sri Datuk Norza Zakaria, pihaknya telah memilih corak belang harimau yang lebih garang dan berlatarkan warna hitam dipaparkan pada pakaian rasmi untuk dipakai kontinjen Malaysia ke Paris 2024.

“Belang harimau tersebut berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket selain logo MOM terpampang dengan kibaran Jalur Gemilang kembali dilakar mengikut warna-warna Jalur Gemilang serta diiringi lima gegelung Olimpik, berbanding logo MOM berwarna emas yang dipaparkan pada corak terdahulu.

“Untuk kemeja T berkolar pula akan berwarna emas dan MOM mengekalkan corak dan motif yang sama tetapi dengan lakaran logo MOM yang berlambangkan warna-warna Jalur Gemilang sebagai tanda menghormati bendera negara.

“MOM berasakan bahawa reka corak baharu in melambangkan semangat harimau yang sudah menjadi identiti kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.

“MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) mengharapkan agar semangat harimau terus menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di kota Paris nanti.

“Sebagai badan yang mengelolakan Kontinjen Malaysia di semua Temasya Sukan Antarabangsa, MOM berharap corak dan motif lebih terang ini bukan sahaja menonjolkan identiti dan keseragaman kontinjen tetapi turut melambangkan keperkasaan, ketangkasan dan keberanian untuk berjuang atas nama negara,” jelasnya.

Pada 23 Jun lalu, MOM telah mengumumkan pakaian rasmi olimpik berwarna emas dan hitam dihiasi dengan rekaan jalur harimau yang menerima kecaman ramai pihak yang menganggap pakaian berkenaan sebagai “buruk”, “hodoh” dan ketinggalan zaman berbanding dengan reka bentuk busana yang diperagakan Malaysia di pentas Olimpik sebelum ini.



Baca juga:

Anda Mungkin Berminat