Anwar terima kunjungan hormat Retno Marsudi, perkukuh hubungan Malaysia, Indonesia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima kunjungan hormat Menteri Luar Negeri Indonesia, Retno Marsudi serta delegasi di Perdana Putra pada Rabu.

Menurutnya, dalam pertemuan lebih 30 minit itu, beliau dan Retno sempat berbincang pelbagai perkara penting terkait kepentingan kedua-dua negara serta usaha memperkukuh hubungan kedua-dua negara sahabat.

“Menyentuh isu sempadan Malaysia-Indonesia, kami senada mempergiat usaha dan perbincangan bagi mencapai kesepakatan dan penyelesaian menang-menang, khususnya membabitkan sempadan Sabah-Kalimantan Utara yang sedang dimuktamadkan.

“Terkait soal tangkapan bot nelayan membabitkan warga Malaysia dan Indonesia, kedua-dua negara akan menghormati proses perundangan yang berjalan dan sebarang perbincangan atau permohonan adalah tertakluk pada ketetapan dalam memorandum persefahaman (MoU) Common Guidelines,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook miliknya.

Sementara itu, perbincangan mereka kemudian menyinggung soal tenaga kerja Indonesia.

“Saya beri jaminan kepada Ibu Retno bahawa Malaysia kekal komited untuk meningkatkan perlindungan hak asasi dan kebajikan lebih 500,000 pekerja Indonesia di Malaysia,” katanya.

Pada masa sama, Anwar dan Ibu Retno turut membincangkan isu krisis kemanusiaan yang membimbangkan di Myanmar.

“Saya nyatakan kesediaan Malaysia bekerjasama dengan Indonesia dan Laos bagi memastikan kesinambungan dalam usaha menyelesaikan krisis serta meneroka penyelesaian damai,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga menghargai perkongsian Ibu Retno mengenai pengalaman Indonesia menjadi pengerusi ASEAN pada tahun 2023.

Ujarnya, ia tentunya menjadi panduan berguna tatkala Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN tahun 2025.

Difahamkan, Malaysia dan Indonesia bersepakat memberi sokongan teguh pada perjuangan menuntut keadilan buat rakyat Gaza serta penerimaan Palestin sebagai anggota penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat