Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Perak telah menahan sebuah kapal korek pasir asing di kedudukan 14.8 batu nautika barat laut Tanjung Hantu, Perak kira-kira pukul 3.10 petang hari Selasa.
Pengarah Maritim Perak, Kapten Maritim Mohamad Shukri Khotob memaklumkan kapal korek berkenaan berdaftar di Fuzhou, China dan dikendali oleh 47 kru di dalamnya.
“Antara kru yang ditahan termasuk seorang nakhoda, 20 orang kru warga China, 26 kru warga Bangladesh dan seorang kru warga tempatan yang berusia dalam lingkungan 21 hingga 68 tahun.
“Pemeriksaan lanjut mendapati kapal korek tersebut gagal mengemukakan dokumen asal kapal, ‘port clearance‘ dan seorang kru tidak disenaraikan dalam senarai nama kru kapal,” katanya dalam kenyataan.
Dalam pada itu, pihak Maritim turut merampas 60 buah tong gas petroleum cecair (LPG) tanpa dokumen yang sah daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) berada di atas kapal itu.
Nilai rampasan dianggarkan berjumlah RM9,000 dan kesemua kru kapal ditahan untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
Mohamad Shukri menyatakan kes disiasat dibawah Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana gagal mengemukakan dokumen asal kapal dan Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tiada dokumen yang sah.
Serbuan tersebut adalah melalui operasi KD Laksamana Tun Abdul Jamil, kerjasama antara Maritim Negeri Perak bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Baca juga: