Kadar pengangguran kekal 3.3 peratus pada Mei 2024

Kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus dengan bilangan penganggur menurun pada 566.1 ribu orang direkodkan pada bulan Mei 2024, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada Rabu.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin memaklumkan bilangan penduduk yang bekerja pada bulan Mei 2024 kekal berada dalam trend yang positif, dengan peningkatan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus.

“Kadar pengangguran pada bulan Mei kekal pada 3.3 peratus akibat trend penduduk yang bekerja berada dalam tahap yang positif.

“Selain itu, kadar pengangguran kekal pada tahap yang sama kerana 79.9 peratus daripada golongan penganggur sudah bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sementara itu, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun turun sebanyak 0.1 mata peratus kepada 10.5 peratus pada Mei 2024, merekodkan 305,600 penganggur belia, berbanding 305,900 orang pada April.

Manakala, kadar pengangguran bagi belia berumur 15 hingga 30 tahun kekal tidak berubah iaitu pada 6.5 peratus, dengan 434,600 orang berbanding bulan sebelumnya 434,900 orang.

“Berikutan aktiviti ekonomi dan perniagaan yang terus rancak, ia telah menyumbang kepada kewujudan lebih banyak pekerjaan serta peluang pendapatan dalam ekonomi, sekali gus akan menggalakkan lebih banyak penyertaan buruh dalam pasaran. 

“Selain itu, prestasi indeks pelopor negara juga terus mencatatkan peningkatan, sekali gus memberi isyarat bahawa ekonomi Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan berterusan dalam tempoh terdekat. 

“Justeru pasaran buruh dijangka akan terus berada di landasan yang stabil pada bulan-bulan akan datang, disokong oleh pertumbuhan ekonomi yang menggalakkan, kedudukan ekonomi domestik yang semakin berkembang serta pemulihan sektor luaran,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat