KKM adakan sesi libat urus bincang urusan perolehan ubat-ubatan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengadakan sesi libat urus dan perbincangan penjelasan berhubung pelaksanaan urusan perolehan ubat-ubatan serta berkongsi pandangan dengan pihak industri farmaseutikal pada Jumaat lalu.

KKM menerusi satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan, urusan perolehan ubat-ubatan di Kementerian ini adalah selaras dengan dasar, tatacara seta peraturan kewangan dan perolehan Kerajaan yang berkuat kuasa sebagaimana yang digariskan oleh Kementerian Kewangan.

“KKM bertegas untuk tidak akan bertolak ansur dengan sebarang unsur pakatan harga, anti persaingan atau apa-apa amalan termasuk melalui pelantikan agen atau orang tengah yang boleh mengkompromikan pengurusan perolehan ubat-ubatan di Kementerian,” menurut kenyataan itu.

Tegas KKM, perkara itu boleh mengakibatkan kerajaan tidak mendapat nilai pulangan terbaik serta menyumbang kepada peningkatan kos perolehan ubat-ubatan.

“KKM juga memandang serius amalan sesetengah syarikat yang menawarkan harga lebih tinggi kepada Kerajaan berbanding kepada pihak swasta bagi sesetengah produk bat termasuk pemegang pendaftaran produk tunggal yang berdaftar dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

Difahamkan, satu kajian sedang dilaksanakan ke atas keberkesanan sistem perolehan ubat-ubatan KKM.

Justeru, semua pihak berkepentingan dialu-alukan untuk mengemukakan sebarang cadangan penambahbaikan ke arah persaingan yang lebih terbuka dan membantu pertumbuhan industri farmaseutikal tempatan.

Baca juga: