Maritim Pulau Pinang tahan 4 kru sangkar ikan warga Myanmar

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Pulau Pinang telah menahan empat kru sangkar ikan warga Myanmar dalam Op Pertiwi 1/2018 di kedudukan 2.7 batu nautika selatan Pulau Aman pada pukul 1 petang hari Khamis.

Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kapten Maritim Razali Kasim memaklumkan kesemua yang ditangkap berusia dalam lingkungan 23 hingga 39 tahun yang merupakan pekerja di sangkar ikan terbabit.

“Keempat-empat suspek disyaki berada di perairan Malaysia tanpa memiliki pas yang sah mengikut Akta Imigresen 1959/63 dibawah Seksyen 6(1)(c),” katanya dalam kenyataan.

Dalam kejadian berasingan, Imigresen Pulau Pinang turut menahan sebuah tongkang yang merapat bersama bot tunda di kedudukan 0.9 batu nautika timur laut Tanjung Tokong pada pukul 1.30 petang hari yang sama.

“Tongkang berkenaan dipercayai sedang melakukan aktiviti pemindahan air tawar yang dikendalikan oleh seorang kru warga tempatan.

“Namun, kru tongkang berkenaan gagal mengemukakan dokumen lesen pengoperasian yang sah apabila di minta berbuat demikian,” ujarnya.

Razali memaklumkan kes disiasat dibawah Akta Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi tanpa memiliki lesen yang sah.

Kesemua kru dan hasil rampasan bagi kedua-dua tangkapan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.

Baca juga: