SOP penjualan, penggunaan racun berbahaya akan diteliti semula – Dr Dzulkefly

Insiden kematian dua beradik, Muhammad Akil Syauqi, 3, serta Muhammad Luth Syauqi, 2 selepas termakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus di Kedah, Ahad lalu wajar menjadi peringatan kepada semua pihak.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebagai mengulas insiden itu berkata, wujud keperluan untuk prosedur operasi standard (SOP) terutama dalam penjualan dan penggunaan racun berbahaya diteliti semula bagi memastikan insiden serupa tidak berulang.

“Itu adalah satu perkara yang saya perlu susuli selepas ini kerana kita tahu bahawa racun berkenaan memang ‘fatal’ atau berbahaya kerana mempunyai ketoksikan sangat tinggi sehingga boleh membawa maut.

“Malah, kejadian seperti ini memberi peringatan kepada kami (KKM) khususnya penguat kuasa akan peraturan dari segi SOP, dan juga (mereka) yang menggunakan (racun).

“Ia adalah ‘wake-up call’. Meskipun sudah ada peraturan atau SOP ketat dari segi penggunaan dan jualan racun berbahaya, kita perlu menguatkuasakannya dengan lebih efektif, terutama dengan kolaborasi agensi lain,” katanya kepada pemberita di Program ‘Walkabout’ Premis Bersih, Bebas Asap (BeBAs) di Kompleks Komalaut 2, Kuala Perlis pada Sabtu.

Dalam kejadian Ahad lalu, dua beradik tersebut kritikal selepas memakan keropok dipercayai mengandungi racun tikus digantung pada pagar dawai dipasang oleh pemilik kebun, dipercayai untuk tujuan menghalau haiwan liar yang mengancam tanaman.

Muhammad Akil Syauqi, 3, disahkan meninggal dunia pada Rabu ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP) , manakala adiknya, Muhammad Luth pula meninggal dunia pada Jumaat.

Susulan itu, seorang lelaki direman enam hari hingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan kes itu.

Anda Mungkin Berminat