Mohd Yusri galas jawatan sebagai Pengarah JSPT yang baharu

Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman yang baharu digalas oleh Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri pada Isnin.

Beliau menggantikan Timbalan Pengarah JSPT 1, Datuk Mohd Nasri Omar yang telah memangku jawatan tersebut selepas persaraan Datuk Azman Ahmad Sapri pada 8 April lalu.

Dalam pada itu, majlis serah terima tugas dan pemakaian lencana pangkat itu telah disaksikan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Razarudin menyatakan keyakinannya bahawa pengalaman dan pengetahuan luas Mohd Yusri akan memacu JSPT ke arah perkhidmatan yang cemerlang dan berintegriti tinggi.

“Pucuk pimpinan pasukan sangat berharap agar Pengarah JSPT dapat memastikan jabatan ini sentiasa berada pada tahap dan landasan yang betul untuk mengekalkan momentum pencapaian cemerlang.

“Saya berharap Datuk Seri (Mohd Yusri) sentiasa peka dan prihatin terhadap kebajikan serta keperluan penugasan warga JSPT di lapangan, terutamanya dari aspek logistik, peralatan, kemahiran, dan latihan.

“Dengan keseimbangan antara keperluan tugas dan kebajikan, JSPT akan dapat menjadi jabatan yang lebih unggul, mampan, dan holistik dalam menjamin kesejahteraan pengguna jalan raya,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Dalam ucapannya, Razarudin menekankan bahawa JSPT memainkan peranan penting dalam memastikan pematuhan dan penguatkuasaan undang-undang lalu lintas serta memastikan pergerakan lalu lintas yang selamat dan lancar, khususnya di bandar-bandar utama semasa waktu puncak dan musim perayaan.

“Saya meletakkan harapan tinggi bukan sahaja kepada warga JSPT tetapi juga kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk melaksanakan tugas dan memberikan perkhidmatan berlandaskan integriti serta tatakelola yang baik, serta mendukung kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat