Suami, isteri pengasas KK Supermart serta tiga pengarah dibebaskan

Pengasas Kumpulan KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, Datuk Seri Dr KK Chai dan isterinya telah dilepaskan dan dibebaskan (DNA) oleh Mahkamah Sesyen daripada semua pertuduhan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah pada Isnin.

Selain itu, tiga pengarah syarikat pembekal daripada Xin Jian Chang Sdn Bhd turut mendapat perintah DNA atas pertuduhan sama.

Sebagai rekod, dua syarikat dan lima individu tersebut telah mengemukakan representasi pada 17 Mei sementara Jabatan Peguam Negara (AGC) menerima dokumen terbabit pada 26 Mei lalu.

Pada 26 Mac 2024, Kee Kan dan Siew Mui yang juga Pengarah KK Super Mart & Superstore mengaku tidak bersalah atas masing-masing satu pertuduhan iaitu sengaja melukakan perasaan orang Islam dengan mempamerkan stoking tertera kalimah Allah di rak pameran jualan, yang telah dilihat oleh seorang lelaki berusia 32 tahun.

“Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di KK Supermart dan Superstore Sdn Bhd, Bandar Sunway pada jam 6.30 pagi 13 Mac lepas, mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau dengan kedua-duanya, jika sabit kesalahan,” memetik laporan Sinar Harian.

Dalam pada itu, syarikat pembekal mengedar barangan kepada KK Supermart dan Superstore turut didakwa atas pertuduhan sama.

“Syarikat pembekal Xin Jian Chang Sdn Bhd bersama tiga pengarahnya, didakwa atas satu pertuduhan bersubahat melukakan perasaan orang Islam berkaitan isu stoking tertera kalimah Allah pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

“Difahamkan, pembekal merupakan tiga beranak, suami, Soh Chin Huat, 61, isterinya, Goh Li Huay, 62 dan anak mereka, Soh Hui San, 36,” jelasnya.

Justeru itu, kesemua yang terlibat telah didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 298 Kanun sama memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat