Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim komited dalam menangani gejala Islamofobia yang kian meruncing dalam komuniti global.
Beliau berpendapat demikian ketika mengadakan pertemuan dengan sarjana dan pemikir dari pelbagai negara seperti Azerbaijan, Bosnia, England dan Turkiye di Seri Perdana pada petang Selasa.
Anwar menyatakan kesemua negara mempunyai pandangan yang sama untuk melihat keperluan segera menangani gejala Islamofobia secara tuntas dan berkesan.
Dalam perbincangan tersebut, isu Islamofobia menjadi topik utama dengan semua pihak bersetuju tentang perlunya tindakan segera untuk menangani gejala tersebut melalui usaha pelbagai pihak.
Anwar turut menekankan kepentingan empati dan persefahaman antara agama serta budaya yang berbeza.
Beliau juga menghargai usaha pemikir dari Centre for Postnormal Policy and Futures Studies (CPPFS), International Institute of Islamic Thought (IIIT) dan ISTAC-IIUM dalam memastikan tindakan konkrit diambil melalui sistem pendidikan.
“Kerajaan berjanji akan terus mendukung usaha-usaha ini bagi memupuk perpaduan dan memperbaiki persepsi tentang Islam di peringkat global,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Pertemuan ini turut dihadiri oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Timbalan Menteri Agama, Dr Zulkifli Hassan.
Baca juga: