Semua Ahli Parlimen digesa memastikan semua kanak-kanak bawah 13 tahun tidak membuka akaun media sosial atas dasar keselamatan.
Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menjelaskan perkara itu perlu dilakukan bagi memastikan platform-platform media sosial selamat digunakan dalam kalangan kanak-kanak dan keluarga.
Beliau membahas dalam sidang Dewan Rakyat pada pagi Khamis, Fahmi berkata, permintaannya itu juga bagi memastikan internet negara dalam keadaan selamat selain daripada meluas, murah dan lebih pantas.
“Platform-platform ini tidak boleh cuci tangan dalam isu bukan hanya buli siber tapi sejujurnya banyak lagi masalah yang berlaku yang melibatkan platform-platform media sosial.
“Berapa ramai dalam kalangan Ahli Parlimen yang jadi mangsa penipuan, iklan-iklan penipuan ini dimuat naik di dalam platform-platform media sosial dan saya secara jujurnya setiap pagi Subuh saya akan meneliti semua komen-komen ataupun iklan-iklan penipuan ini.
“Ini belum termasuk lagi judi-judi dalam talian, jadi saya meminta supaya platform-platform ini segera dibetulkan .
“Saya lihat ada keperluan dalam mengambil tindakan yang lebih tegas, dan ini juga kepada mereka yang di pihak kabinet dalam meneliti perkara ini dan InshAllah kita akan mengambil tindakan tegas.
“Saya juga meminta bantuan dari semua yang berhormat, bila ahli-ahli berhormat bertemu kanak-kanak di bawah umur 13 tahun pastikan mereka tidak membuka akaun media sosial kerana semua media platform memang tidak membenarkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun untuk membuka akaun mereka.
“Malangnya, platform-platform ini culas buat pengesahan umur pemilik akaun,” katanya.
Tambahnya lagi, dengan berbuat demikian ia merupakan satu pendekatan dan inisiatif terbaik dalam memastikan penggunaan media sosial lebih terjaga.
Baca juga: