Nasional

Sultan Selangor zahir rasa kecewa terhadap MFL, perkenan Selangor FC tidak hadir perlawanan Piala Sumbangsih 2024

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj zahirkan rasa kecewa kerana pihak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Kelab Bolasepak Selangor supaya menangguh perlawanan berkenaan.

Selain itu, baginda turut memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan pasukan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang dijadualkan berlangsung pada 10 Mei 2024 menentang Johor Darul Takzim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor.

“Susulan berlakunya beberapa insiden mengancam nyawa yang melibatkan pemain dan pegawai baru-baru ini, adalah bertepatan untuk pasukan Selangor FC tidak menyertai perlawanan berkenaan yang juga merupakan aksi pertama Liga Super edisi 2024.

“Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan,” titah baginda menerusi akaun Facebook rasmi Selangor Royal Office.

Baginda bertitah, bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim, juga harus diambil kira.

Justeru, baginda turut menyokong solidariti untuk membanteras keganasan sukan dalam apa jua bentuk.

Pada 8 Mei 2024, pihak Selangor FC telah mengambil keputusan yang amat sukar untuk tidak hadir ke Perlawanan Piala Asia Sumbangsih 2024 yang telah lama dinantikan.

“Berdasarkan keadaan semasa yang tidak menentu, kami di Selangor FC menegaskan keselamatan pasukan adalah perkara paling utama dan kami memandang serius akan segala bentuk keganasan serta ancaman terhadap pemain kami,” katanya menerusi satu kenyataan.

Baca juga:

Related Articles

Check Also
Close