Kastam terima 20 ekor anjing pengesan bagi banteras sindiket penyeludupan, pengedaran dadah

Sebanyak 20 ekor anjing pengesan dadah jenis German Shepherd dan Labrador dari India diterima Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan dadah di negara ini.

Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, keseluruhan anjing pengesan dadah ini akan dikendalikan anggota JKDM dari seluruh Malaysia.

“Seramai 20 anggota JKDM yang ditugaskan untuk mengendalikan anjing pengesan dadah ini akan diberikan latihan bagi mengendalikannya secara profesional dan terlatih sebelum mereka menjalankan tugas di lapangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Beliau berkata, lawatan berkenaan dijalankan bagi meninjau operasi dan keadaan bangunan pejabat itu di samping meninjau tempat penyimpanan anjing pengesan dadah tersebut.

“Saya turut diberikan taklimat ringkas oleh jurulatih profesional dari India yang pakar melatih anjing-anjing dengan latihan khas bagi penugasan khusus untuk mengesan dadah.

“Selain itu, pemeriksaan turut dijalankan terhadap keadaan kenderaan pacuan empat roda bagi kegunaan membawa APD yang dilengkapi dengan sangkar anjing berserta kabin dan sistem pengudaraan.

“Kelengkapan ini untuk memastikan keselamatan anjing jabatan adalah terjamin sepanjang tempoh pelaksanaan operasi pengesanan dadah,” katanya.