Pertama kali, kesemua peserta Malaysia menang pingat pada Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia

Enam pelajar Malaysia mencipta rekod apabila pertama kalinya kesemua peserta telah memenangi pingat dalam Pertandingan Olimpiad Matematik Antarabangsa Dunia yang berlangsung di United Kingdom (UK).

Perkara itu dimaklumkan Olimpiad Matematik Malaysia menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Ivan Chan Guan Yu dan Wong Jer Ren merangkul pingat perak sementara Daryl Lee Ker Ru, Leia Mayssa Masyerin, Tan Min Heng dan Loh Kwong Weng memenangi pingat gangsa pada pertandingan itu.

“Tahniah kepada kesemua pemenang. Ini merupakan kali pertama kesemua peserta dalam pasukan memenangi pingat dan menyelesaikan P1 dan P4,” ujarnya.

Olimpiad Matematik Malaysia turut memaklumkan Malaysia menduduki tempat kedua dan juga sebaris dengan Vietnam dalam kalangan negara-negara ASEAN, mendepani kedudukan Singapura.

Dengan kejayaan itu, katanya, Malaysia meraih kedudukan ke-33 daripada 117 negara yang mengambil bahagian.

Tambahnya, majlis penyampaian pingat akan berlangsung pada majlis penutupan The Forum, Bath UK pukul 4 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia) pada Ahad.

Anda Mungkin Berminat